IMBAS KEMBALI. Kor Ming periksa bekas syampu yang tidak berganti baharu dan paip air tidak berfungsi di tandas awam Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Premis perniagaan makanan yang gagal memperoleh sijil A bagi kebersihan tandas mungkin tidak akan dibenarkan memperbaharui lesen.

Menterian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan tersebut selaras dengan dasar BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi yang diperkenalkan kerajaan.

Dasar tersebut akan dilaksanakan secara tiga fasa bermula tahun depan.

“Untuk semua restoran makanan (F&B) bermula tahun depan di peringkat kawasan bandar raya semua wajib mendapat sijil A untuk tandas iaitu restoran, hotel, warung kopi, kedai mamak dan lain-lain.

“Jika tidak capai kebersihan sijil A maka pembaharuan lesen mungkin tidak dibenarkan. Kita akan ada garis panduan jelas perkara yang perlu dibuat,” kata Kor Ming.

Katanya, peringkat majlis perbandaran akan dikuatkuasakan bermula tahun 2025 dan peringkat majlis daerah pada tahun 2026.

Tambah Kor Ming berkata, sejumlah 18,000 tandas akan terlibat dalam dasar itu.

“Kita nak pastikan dia BMW selaras dasar KPKT. Ia akan meningkatkan imej negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak mahu ada lagi tandas berbau busuk, kurang senang hati. Kita akan melihatkan pemegang taruh seperti persatuan-persatuan kedai dan penjaja,” kata Kor Ming.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kementerian di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 4 Januari lalu, MalaysiGazette melaporkan, Kor Ming mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan semua tandas awam bertaraf BMW.

Serentak itu, Kor Ming telah mengarahkan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

Justeru, katanya, setiap tandas awam mesti bertaraf BMW sekali gus meningkatkan persepsi rakyat terhadap PBT.

Menurut Kor Ming, kebersihan tandas awam khususnya yang menjadi destinasi utama pelancongan berkait rapat dengan imej negara.

Katanya, PBT di seluruh negara perlu melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual supaya memastikan tandas awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, berfungsi baik dan teratur.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast