pengajian
Pengurusan MQA dan JPPKK yang menghadiri mesyuarat Penyelarasan Pemerkasaan Laluan TVET di Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar: Ihsan MQA)

KUALA LUMPUR – Masyarakat di negara ini berpeluang menyambung pengajian ke politeknik dan kolej komuniti di peringkat sijil tahap 1 dan 2 yang boleh digunakan untuk memasuki pasaran kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk memberikan fleksibiliti kepada masyarakat bagi melanjutkan pelajaran di kedua-dua institusi berkenaan.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan masyarakat berhasrat untuk melanjutkan pengajian, namun menghadapi kesulitan disebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang atau faktor lain.

“MQA dan JPPKK merancang menyediakan laluan fleksibel bagi memudahkan masyarakat Malaysia untuk melanjutkan pengajian di politeknik dan kolej komuniti.

“Tanpa mengira latar belakang akademik, calon masih berpeluang melanjutkan pengajian tahap sijil di politeknik ataupun kolej komuniti berhampiran mereka yang seterusnya kelulusan itu boleh digunakan untuk permohonan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Pemerkasaan Laluan TVET di Politeknik Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Mohd Zahari Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Akreditasi MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Abdul Razak Mohamed MQA; Pengarah Bahagian Peperiksaan & Penilaian JPPKK, Dr. Norhayati Ibrahim dan Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kedua-dua pihak turut mencadangkan setiap kolej komuniti supaya menyediakan program berkaitan dengan kehendak masyarakat sekeliling serta keperluan setempat. – MalaysiaGazette