Home Utama Kafe Rahmah pula untuk pelajar universiti

Kafe Rahmah pula untuk pelajar universiti

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka melancarkan Kafe Rahmah kepada pelajar universiti dalam tempoh sebulan ini selepas Menu Rahmah mendapat sambutan baik daripada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Kafe Rahmah dapat memberi manfaat dengan menawarkan makanan tengah hari percuma kepada pelajar universiti.

“Tunggu dalam masa sebulan lagi, kita akan buat lagi Kafe Rahmah, dengan satu kali makan tengah hari percuma.

“Insya Allah sarapan pagi dan makan malam kita akan beri diskaun sehingga 50 peratus.

“Tunggu pula kehadiran Kafe Rahmah untuk pelajar-pelajar universiti kita tidak lama lagi,” katanya menerusi dalam klip video di Facebook, hari ini.

Dalam rakaman itu Salahuddin berkata, pelajar universiti boleh mendapatkan Menu Rahmah di pasar raya Mydin di seluruh negara atau restoran mamak yang terpilih.

Awal minggu ini, kerajaan menerusi KPDN melancarkan Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis yang menjual makanan.

Menu Rahmah merupakan hidangan yang ditawarkan pada harga maksimum RM5, khusus buat golongan B40. – MalaysiaGazette