Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) serta para peserta melakukan aktiviti mendaki pada Program 'Hiking' PDRM bersama Komuniti peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Perseketuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar yang akan ditetapkan oleh  Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pelaksanaan penjualan mercun dan bunga api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedia untuk mengikut peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

“Saya baru tahu perkara ini dan kita sedang menunggu apakah dasar daripada KDN berkaitan pelaksanaan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Hiking Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Komuniti Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semalam bahawa penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak tahun 1995 akan dibenarkan semula.

Menurut Kor Ming, Kabinet telah membuat keputusan untuk menarik balik larangan itu kelmarin

Bagaimanapun menurut beliau, kerajaan akan mengawal dari segi sumber penjual dan pengimportan produk berkenaan.

Tambah Kor Ming, Kabinet mengambil keputusan itu bagi mengawal standard keselamatan produk yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Selain itu, ia juga membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan berjumlah jutaan ringgit. – MalaysiaGazette

Kerajaan tarik larangan penjualan, main mercun – Kor Ming