Gambar hiasan

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan 233 individu termasuk dua wanita sepanjang tiga hari Operasi Tapis Bersepadu di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas, dekat sini, bermula Rabu hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 65 tahun yang ditahan itu, terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari operasi tersebut, polis turut berjaya membuat dua tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes pertama melibatkan tangkapan dua lelaki warga tempatan berumur 18 tahun di tepi jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi bersama 4,000 biji dadah jenis pil yaba.

“Polis turut berjaya menangkap seorang lelaki warga Thailand berumur 16 tahun di tepi jalan Pengkalan Che Kassim dan merampas 10.3 kilogram dadah jenis ganja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, sepanjang tiga hari operasi, pelbagai dadah dianggarkan bernilai lebih RM216,000 yang boleh digunakan seramai 29,301 berjaya dirampas.

“Polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan,” katanya. – BERNAMA