fatwa
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berpendapat, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti seharusnya dianggap sebagai pandangan dan bukannya undang-undang yang mengikat umat Islam di negeri terbabit.

Menurut beliau, ketika ini, fatwa dianggap seperti undang-undang yang diwartakan walaupun tiada penjelasan lanjut mengenai hukuman atau pembuktian sekiranya ia dilanggar.

Zaid berkata, setiap undang-undang yang digubal perlu dibahas terlebih dahulu dan dibincang dalam jawatankuasa di dewan undangan negeri (DUN) atau Parlimen.

“Jadi rakyat tahu apa yang sebenarnya digubal, apa yang dilarang tetapi fatwa walaupun kesannya macam undang-undang kepada rakyat, ia hanya dibincang dalam pejabat mufti.

“Tiada perbahasan dibenarkan atau orang ramai tidak mengambil bahagian,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai fatwa yang dikeluarkan di Johor pada 1 Februari lalu yang menegah dan melarang umat Islam daripada menghadiri, menyertai dan merayakan upacara ritual perayaan agama bukan Islam sama ada di rumah ibadat atau tempat-tempat perayaan mereka.

Sehubungan itu, Zaid berharap agar kerajaan menukar status fatwa sebagai pandangan mufti.

“Tak boleh fatwa yang ada kesan dari segi undang-undang dibuat tanpa perbincangan, tanpa mengambil kira pandangan orang ramai dan kesan kepada negara,” jelasnya.

Zaid berpandangan, fatwa yang dikeluarkan di Johor tersebut memerlukan penjelasan yang lebih rapi lebih-lebih lagi jika program diadakan di depan khalayak ramai dan kawasan awam.

“Perarakan Thaipusam yang dilakukan di jalan raya dan tempat-tempat umum jadi bagaimana umat Islam hendak jauhkan diri daripada kegiatan atau program tersebut?” soalnya. – MalaysiaGazette