Foto yang dikongsi di Facebook Perdana Mneteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan dirinya menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Anwar dalam satu kenyataan berkata, beliau melakukan pemeriksaan kesihatan itu pagi tadi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, hasil pemeriksaan doktor yang bertugas memaklumkan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan baik.

Walaupun cuti umum dan cuti hujung minggu, selepas pemeriksaan, beliau menyambung urusan kerja hari ini

“Pagi tadi jalani pemeriksaan kesihatan di IJN. Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf,” kata Anwar dalam kenyataan ringkas di media sosial.

Dalam foto yang dikongsi bersama, kelihatan beliau berbincang dengan Nurul Izzah yang merupakan Penasihat Kanan Ekonomi Perdana Menteri dan Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohamad Akin.

Media hari ini melaporkan Anwar tidak sihat bagi menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ketika ditemui pemberita pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy berkata, Anwar mendapatkan rawatan di hospital.

“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM tidak sihat, dapat rawatan hospital – Sivakumar