Polis menahan tujuh individu bagi siasatan kes membaling botol arak ke jalan raya yang tular di media sosial baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh individu bagi siasatan kes membaling botol arak ke jalan raya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua suspek ditahan secara berasingan semalam dan hari ini.

Suspek yang ditahan terdiri empat lelaki dan selebihnya wanita berumur sekitar 20 hingga 24 tahun.

“Semalam kami berjaya menangkap seramai lima orang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua orang perempuan berusia 31 tahun bagi membantu siasatan dalam kes kejadian membaling botol ke arah jalan raya.

“Pada hari ini,  antara jam lebih kurang 1.30 hingga 2.15 petang tadi,  tangkapan susulan telah dilakukan ke atas seramai dua orang lagi terdiri daripada  seorang lelaki  dan seorang wanita.

Menurut Noor Delhan, pihaknya turut merampas telefon bimbit dan sepasang pakaian.

Katanya, seorang daripada semua yang ditangkap didapati positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a)
Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, dua orang ditahan suspek reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Manakala lima lagi dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.

Sementara itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang terkesan akibat perbuatan berkenaan tampil membuat laporan polis.

Sejak semalam, tular di media sosial video menunjukkan seorang lelaki melontar botol kaca ke arah jalan raya daripada kediaman bertingkat.

Tindakan lelaki itu yang kelihatan sengaja merakam perbuatan bahaya berkenaan mendapat kecaman daripada netizen.-MalaysiaGazette