KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis untuk menyiasat satu hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook, Sam MY.
Menurut beliau, perkongsian oleh Sam MY mengandungi elemen fitnah serta mempunyai niat buruk.
Katanya, pemilik Facebook berkenaan telah berkongsi gambar lama daripada kenalan beliau yang telah meninggal dunia.
“Ini adalah satu fitnah jahat dan sangkaan buruk oleh seorang individu bernama Sam MY.
“Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama (individu di kanan gambar Abd Rahman Yusof, kenalan lama saya dan telah meninggal dunia pada 8 Jun 2021) dalam fitnah ini.
“Saya telah mohon SKMM, PDRM siasat segera,” kata Fahmi melalui kenyataan yang dibuat di media sosial.
Fahmi turut berkongsi keratan layar perkongsian individu berkenaan.
Foto tersebut memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amian Ahmad.
Dalam gambar itu pemimpin terbabit sedang dijamu dengan dua talam besar makanan.
“Salam. Rakyat marhaen disuruh makan Menu Rahmah kononnya kena berjimat cermat dan mesti bijak berbelanja. Tapi menteri pasola kera jaan mcdani alagapas Abang Non pula berminyak bibir makan daging unta di negeri antah berantah.
“Abah kaw ijo laa. P.s gambar hanya sebagai hiasan di kamar mandi!” kata Sam MY dalam hantaran berkenaan. – MalaysiaGazette