Piala MFL.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Piala MFL yang bermula pada 2 Mac ini akan memberikan lebih banyak pilihan buat ketua jurulatih Bawah 23 negara, E.Elavarasan.

Ia bagi mencari kesebelasan terbaik bagi memikul cabaran negara terutama di pentas Sukan SEA 2023.

Menurutnya, Piala MFL ini juga akan menjadi platform terbaik kepada pemain-pemain muda bagi memperagakan bakat mereka sekali gus mengekalkan kecergasan mereka di tahap kompetitif untuk sepanjang musim.

Jelas beliau, menjadi satu situasi berbeza pada musim ini kerana sebelum ini hanya memantau perkembangan pemain dalam skuad utama dan kini Piala MFL.

“Kejohanan Sukan SEA merupakan tugasan pertama saya bersama pasukan dan sudah tentu, saya mengharapkan mampu mendapatkan pemain yang terbaik.

“Jadi dengan adanya Piala MFL, saya rasa boleh mencungkil pemain-pemain baharu untuk pasukan selain boleh mendapatkan minit permainan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan Liga Super.

“Kehadiran pemain-pemain import mungkin boleh dijadikan panduan kepada pemain-pemain muda ini terutama kepada mereka yang masih baharu dengan suasana pertandingan seperti ini,” katanya.

Piala MFL melibatkan 15 pasukan termasuk Skuad Projek FAM-MSN dengan saingan akan dipecahkan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A memperlihatkan 8 pasukan bakal bersaing iaitu Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Sementara itu baki tujuh lagi pasukan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC akan bermain di Kumpulan B.

Dalam pada itu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, berharap bukan sahaja bakat baharu mampu dilahirkan tetapi lebih banyak jurulatih tempatan akan mencipta nama di Piala MFL.

“Piala MFL mempunyai struktur tersendiri yang saya rasa sangat baik sebagai kesinambungan pembangunan pemain-pemain muda selepas Piala Presiden dan Piala Belia.

“Pemain-pemain ini mampu meneruskan kerjaya mereka pada pentas Bawah 23 tahun dan dalam masa sama, saya rasa Piala MFL mampu menjadi medan kepada jurulatih muda mencipta nama.

“Saya harap Piala MFL mampu berkembang dengan baik sekaligus menjadi medan yang kompetitif dalam kita melahirkan pemain muda yang berkualiti,” katanya.

 

Pasukan Piala MFL.

Di bawah format Piala MFL yang menjadi platform kepada pemain Bawah 23 tahun, semua pasukan boleh mendaftarkan lima pemain senior tempatan melebihi umur ( lahir sebelum tahun 2000) dan tiga pemain import pada sesuatu perlawanan dengan pasukan diberikan beberapa pilihan bagi menggunakan pemain senior dan import.

Daripada  lima pemain senior tempatan yang didaftarkan, hanya tiga sahaja boleh bermain pada secara serentak jika pasukan tidak menurunkan pemain import.

Jika dua pemain senior tempatan diturunkan, pasukan hanya dibenarkan menggunakan seorang pemain import semasa perlawanan berlangsung.

Jika setiap pasukan telah menggunakan kuota dua import yang dibenarkan semasa perlawanan berlangsung, hanya seorang sahaja pemain senior dibenarkan dalam senarai 11 pemain di atas padang.

Manakala bagi kuota import,pasukan boleh mendaftarkan tiga pemain dalam skuad dengan dua sahaja dibenarkan bermain semasa permainan berlangsung dan seorang lagi sebagai pemain gantian.

Namun jika setiap pasukan telah menggunakan kuota dua import yang dibenarkan semasa perlawanan berlangsung, hanya seorang sahaja pemain senior dibenarkan dalam senarai 11 pemain di atas padang.

Manakala baki seorang lagi pemain import hanya boleh masuk selaku pemain gantian kepada pemain import yang lain. – MalaysiaGazette