Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) lancar inisiatif perangi rasuah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited bukan sahaja dalam usaha memerangi rasuah sebaliknya berterusan melaksanakan aktiviti antirasuah di negara ini.

Ini juga seiring dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa berjuang memastikan negara ini bebas rasuah tidak kira sektor awam dan swasta.

Justeru itu Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) tampil dengan inisiatif pencegahan rasuah dengan menggariskan empat objektif strategik yang memberi fokus kepada tadbir urus, pentadbiran, perolehan dan penguatkuasaan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada tahun lepas naik dari tangga 62 kepada 61 daripada 180 negara namun data dikeluarkan oleh Transparency International (TI) pula menunjukkan skor negara turun satu mata kepada 47 berbanding 48 pada tahun sama.

“Perkhidmatan yang baik tanpa rasuah memberikan persepsi lebih baik sekali gus menambah baik skor CPI negara pada masa hadapan.

“Malaysia perlu dan sentiasa meningkatkan lagi usaha untuk melaksanakan aktiviti antirasuah bagi mewujudkan persekitaran bebas rasuah dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ‘Inisiatif Pencegahan Rasuah HRD’ di KSM Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood di sini hari ini.

Sivakumar berbesar hati dengan usaha HRD Corp dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuahnya selaras dengan komitmen berkaitan Peningkatan Tadbir Urus, Integriti dan Pencegahan Rasuah dalam Pentadbiran Pengurusan Malaysia.

“Arahan tersebut termasuklah keperluan untuk menubuhkan unit integriti dan tadbir urus dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat milik kementerian dan agensi kerajaan. Integriti seharusnya menjadi nilai teras bagi setiap penjawat awam.

“Tanggungjawab kita adalah kepada rakyat yang kini lebih arif menilai di samping mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik dari kita.

“Kita mestilah mendengar kebimbangan mereka serta memberikan perkhidmatan dengan standard tertinggi. Ini akan melegakan semua rakyat Malaysia sekali gus mewujudkan dan mengekalkan persepsi positif terhadap institusi kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Risiko, Integriti dan Governans, Siti Fatimah Abdullah berkata, Inisiatif Pencegahan Rasuah HRD bertujuan untuk mengukuhkan kepercayaan pihak berkepentingan serta memastikan organisasi diurus dengan penuh tanggungjawab dan telus.

“Ini penting memandangkan kami merupakan organisasi yang telah diberikan kepercayaan sebagai pengurus levi yang dibayar majikan untuk mengurusnya secara adil dan beretika. Kita yakin dengan usaha yang telah kami lakukan, kami akan terus menetapkan standard etika dan integriti tinggi untuk dicontohi,” ujarnya. -MalaysiaGazette