PUTRAJAYA – Terminal Titiwangsa bakal menjadi hab pengangkutan awam yang utama di ibu negara tidak lama lagi apabila ia menghubungkan lima mod pengangkutan.
Mod pengangkutan yang terlibat adalah perkhidmatan bas, Monorel KL, transit aliran ringan (LRT) Laluan Ampang dan Seri Petaling serta Transit Aliran Massa (MRT) dua dan tiga.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, stesen itu ketika ini sudah ada pertukaran stesen dengan monorel dan laluan LRT Ampang.
”Terminal itu dibangunkan berteraskan pembangunan berorentasikan transit (TOD). Dengan adanya pembukaan MRT2 ini, maka ada terdapat tiga mod di sana (Titiwangsa) iaitu MRT 2, LRT, dan monorel.” katanya pada sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Menteri Datuk Hasbi Habibollah membuat lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya.
Tambah Anthony, keterhubungan dan keluasan kawasan adalah antara faktor utama pemilihan Stesen Titiwangsa sebagai hab pengangkutan awam.
Tapak yang dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan termasuk urusan perolehan dan tender.
“Pada mulanya (pembesaran stesen) ini dirancang bersama pembinaan MRT3, tetapi saya beritahu MRT Corp mungkin kita perlu melihat perkara ini dan melakukannya lebih awal, sebelum pembinaan (MRT3),” katanya.
Kementerian juga mengenal pasti kawasan pembangunan yang juga bekas tapak Flat Pekeliling yang dirobohkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut berkonsepkan stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Katanya, Kementerian Pengangkutan akan mengetengahkan elemen ketersambungan batuan pertama dan akhir yang tidak hanya bergantung kepada bas pengantara.
Dalam pada itu, Anthony turut memberitahu kedudukan stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berhampiran dengan Titiwangsa juga disifatkannya sebagai salah satu stesen yang istimewa.
“Stesen HKL ini satu-satunya stesen yang mempunyai kemudahan walkerlator untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sepanjang 400 meter.
“Jadi ia akan memudahkan pelawat mahupun pesakit luar yang ingin pergi ke HKL untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
“Saya berharap dengan adanya perkhidmatan awam di lokasi Titiwangsa dan menghubungkan HKL menjadi penyelesaian kepada masalah kesesakkan lalu lintas dan parkir,” ujarnya. – MalaysiaGazette