Gambar hiasan

WASHINGTON – United Airlines berdepan kemungkinan didenda sebanyak AS$1.15 juta selepas didakwa melakukan penerbangan dengan pesawat yang tidak menjalani pemeriksaan keselamatan tertentu, kata Pentadbir Penerbangan Persekutuan (FAA) meskipun syarikat itu menyifatkan pemeriksaan itu bertindih dengan sistem lain.

FAA yang mencadangkan denda itu pada Isnin mendakwa, dari Jun 2018 hingga April 2021, United telah menarik keluar pemeriksaan amaran sistem kebakaran daripada senarai semak pra-penerbangan Boeing 777.

Sedangkan tugasan pemeriksaan itu diperlukan dalam manual spesifikasi penyelenggaraannya.

United mengendalikan lebih 100,000 penerbangan dengan Boeing 777 pada masa ini.

“Penarikan keluar pemeriksaan itu menyebabkan United gagal melaksanakan pemeriksaan yang diperlukan dan operasi pesawat yang tidak memenuhi keperluan kelayakan udara,” kata agensi itu dalam satu kenyataan media.

United, bagaimanapun, berkata, ia menukar senarai semak pra-penerbangannya pada 2018 “disebabkan wujud pemeriksaan bertindih yang dilakukan secara automatik oleh 777” dan FAA telah menyemak dan meluluskan perubahan tersebut pada masa itu.

“Keselamatan penerbangan kami tidak pernah dipersoalkan,” kata United dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan mengkaji semula penalti yang dicadangkan dan “bertindak balas dengan sewajarnya.”

“Ujian kebakaran ke atas pesawat seperti 777, benar-benar sangat komprehensif,” jelas.

Bekas juruterbang komersial memberitahu ABC News, pemeriksaan itu hanya menguji semua litar untuk memastikan semuanya berfungsi dengan betul.

“Pesawat itu sebenarnya sudah melakukannya (pemeriksaan amaran sistem kebakaran) secara
sendiri, tetapi sudah menjadi tradisi bagi juruterbang untuk membuat susulan dan melakukan ujian,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast