Tangkap layar menunjukkan dua lelaki menghalang kereta mangsa di Lebuh Chulia, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN –  Tanpa sebarang alasan, dua lelaki bertindak menampar dan menumbuk seorang pengawal peribadi dalam satu kejadian di Lebuh Chulia di sini, semalam.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Rahmat, 30, berkata, kejadian berlaku jam 3 pagi ketika dia dan rakannya warga Kanada dalam perjalanan ke sebuah hotel di Gurney.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan Lebuh Chulia keretanya dihalang dua lelaki dengan motosikal jenis Honda RS150 yang dinaiki mereka sebelum melulu dan membuka pintu kereta Proton Satria Neo yang dinaikinya.

“Bukan saja saya tak sempat tanya tapi mereka juga tidak maklum apa punca dan terus tampar, tumbuk muka saya.

“Selain itu, mereka juga bertindak menarik rambut serta meludah ke arah saya sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Rahmat, dua lelaki itu dipercayai menyertai perarakan Thaipusam yang sedang berlangsung, selain terdapat sekumpulan penganut Hindu berkumpul di laluan berkenaan bagi tujuan sama.

Tambah Rahmat, dia tidak tahu mengapa dirinya diperlakukan sedemikan serta tidak puas hati dengan tindakan dua lelak terbabit.

“Bukan saja itu, saya juga malu dengan rakan warga Kanada kerana insiden tersebut menunjukkan orang tempatan bersikap samseng di jalan raya.

“Kalau saya ada salah sekali pun mereka tak patut pukul, sebaliknya bincang dahulu.

“Susulan kejadian itu, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani dan saya harap mereka dikenakan tindakan agar kejadian sama tidak berulang kepada orang lain,” ujarnya.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi satu minit menunjukkan dua lelaki berbaju biru menghalang sebuah kereta.

Bagaimanapun, selepas beberapa saat kedua-dua lelaki yang tidak memakai topi keledar itu dilihat meninggalkan lokasi kejadian. – MalaysiaGazette