Dr. Masliha Harun

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Puteri UMNO Dr. Masliha Harun mengumumkan akan bertading jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO mengantikan Datuk Zahida Zarikh Khan.

Masliha yang bergiat lebih 20 tahun sebagai ahli parti berkata, REVU akan menjadi visi beliau kepada Puteri UMNO sekiranya terpilih sebagai ketua sayap yang baharu.

REVU yang bermaksud peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity) berupaya membawa inspirasi dan kekuatan kepada Puteri UMNO dan parti itu sendiri.

“Politik sekarang ini dinamik. Dulu politik khidmat bakti sekarang politik baru. Kita perlu rejuvenasi Puteri dengan menarik penyertaan anak muda kepada UMNO secara lebih agresif.

“Saya mahu tambahkan keahlian Puteri dengan melibatkan semua kumpulan iaitu mahasiswa, profesional dan golongan wanita muda berumur 18 tahun.

“Saya juga mahu empowered Puteri. Bukan sekadar memperkasakan tetapi berani membawa suara anak muda dengan imej lebih yakin dengan memperjuangkan ekonomi, pendidikan dan kepimpinan kumpulan ini,” kata Masliha kepada MalaysiaGazette.

Dr. Masliha Harun.-AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

Beliau juga mahu Puteri menjadi voice atau suara rujukan anak muda dengan menjadikan sayap itu sebagai ‘one stop center’ untuk golongan wanita muda menyuarakan masalah dan pandangan.

Banyak isu-isu yang boleh diperjuangkan oleh Puteri seperti ibu tunggal yang terbiar dan tidak mempunyai pendapatan, pencabulan dan penderaan kanak-kanak.

“Saya juga mahu wujudkan unity dalam parti, untuk UMNO bangkit semula kita tidak boleh dilihat berpecah dan berpuak.

“Maka saya mahu menyatukan hati setiap ahli supaya mencintai parti. Mereka perlu hormat organisasi. Kita tidak perlu taksub pemimpin tetapi taksub kepada parti dan apsirasi yang dibawa.

“Kalau setiap ahli tahu aspirasi dan agenda parti dengan jelas mereka lebih fokus untuk bersama UMNO. Adalah penting untuk memupuk semangat jati diri dalam kalangan ahli,” tegas beliau yang merupakan doktor perubatan dan mempunyai klinik sendiri.

Masliha yang juga Pengerusi Bertindak Undi 18 Puteri UMNO berkata, beliau juga telah menyiapkan pelan induk bagi menarik kumpulan tersebut kepada parti.

Bagaimanapun akibat beberapa kekangan pelan induk berkenaan tidak dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum yang lalu.

Namun katanya, jika diberi peluang oleh ahli untuk diangkat sebagai ketua sayap yang baharu beliau akan memastikan pelan induk berkenaan dijayakan sepenuhnya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu berkata, bukan mudah untuk mengetuai sayap parti dalam keadaan UMNO tewas namun ia adalah cabaran yang perlu beliau pikul untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Pengalaman sebagai ahli Puteri sejak 2002 adalah perisai saya untuk memegang jawatan ini.

“Saya tahu kita perlu ukur baju di badan sendiri tetapi kita Puteri lahir di zaman sebagai pembangkang. Di kala kita tak jadi kerajaan dan kalah terduduk orang telah lari tinggalkan perjuangan, melompat parti lain. Saya masih kekal.

“Saya nampak Allah beri kita satu peluang baharu. Sekarang kita kalah lagi dan bukan nak dabik dada jadi kerajaan. Tetapi itu adalah peluang yang dibuka untuk memulihkan parti sedikit demi sedikit,” kata Masliha.

Masliha secara berterus terang berkata, tempoh yang panjang amat diperlukan untuk menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO sekali gus memulihkan parti keramat orang Melayu itu.

Namun beliau yakin sekiranya kerajaan terus stabil dan harmoni, ekonomi meningkat maka UMNO boleh pulih seperti biasa.

Tambahan katanya, UMNO tetap kekal dengan agenda dan aspirasi memperjuangkan bangsa, agama dan negara yang akan sentiasa dihargai oleh rakyat.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ok juga Masliha ni jadi Ketua Puteri kerana ada Daya idea menarik, jika kalah anda boleh lakukan dengan cara “membantu” ketua yg dipilih.

    *sorotan kenyataan*… Saya juga mahu wujudkan unity dalam parti, untuk UMNO bangkit semula kita tidak boleh dilihat berpecah dan berpuak.
    Ini berlaku kerana president parti TIADA DAYA KEPIMPINAN.
    Dalam parti yang kecil pun tak boleh selesai antara ahli bagaimana untuk menjadi KETUA PEMERINTAH?
    KELAUT KELAUT
    Kalau TELOR president yang rebus alamat “separuh masak” ler jadinya… umpama je

Comments are closed.