Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perbincangan masih berjalan mengenai calon untuk menggantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara yang baharu.

“Kami masih berbincang mengenainya,” katanya ringkas pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada terdapat senarai pendek calon untuk jawatan itu selepas kontrak Idrus akan tamat bulan depan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan akan dipertimbangkan oleh Anwar untuk dilantik sebagai peguam negara yang baharu.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Ketiga-tiga hakim itu mempunyai kelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan memandangkan mereka mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah dan sivil, selain ketika berkhidmat dalam badan kehakiman dan perundangan.

Mac tahun lalu, Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara bagi tempoh satu tahun lagi.

Idrus yang juga abang kepada bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilantik menjadi Peguam Negara pada 6 Mac 2020.

Sebelum menjadi Peguam Negara, Idrus pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta penasihat undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette