KUALA LUMPUR – Prestasi yang memberangsangkan sektor pembinaan berterusan pada suku keempat 2022 dengan nilai kerja pembinaan meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM32 bilion.

Secara keseluruhan pada tahun 2022, sektor ini mencatatkan pemulihan 8.8 peratus selepas dua tahun dalam trend menurun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai kerja pembinaan terus meningkat sebanyak 15.7 peratus pada suku keempat selepas berkembang kukuh sebanyak 23.2 peratus pada suku ketiga 2022.

Momentum pertumbuhan pada suku tersebut didorong oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor kejuruteraan Awam (20.8%); bangunan bukan kediaman (19.0%); dan aktiviti pertukangan khas (12.7%).

Sementara itu, subsektor bangunan kediaman meningkat 5.3 peratus berbanding pada setahun yang lalu.

Daripada sejumlah RM32.0 bilion nilai kerja pembinaan yang direkodkan pada suku keempat 2022, sebanyak RM12.1 bilion atau 37.9 peratus adalah dalam kejuruteraan awam dan diikuti bangunan bukan kediaman dengan sumbangan sebanyak 30.1 peratus atau berjumlah RM9.6 bilion.

Sementara itu, nilai kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas masing-masing merangkumi 21.8 peratus dan 10.2 peratus.

”Sektor swasta terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sektor pembinaan pada suku ini yang meningkat sebanyak 23.5 peratus (ST3 2022: 31.8%).

”Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM20.0 bilion atau merangkumi 62.6 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan. Sementara itu, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 37.4 peratus atau bersamaan RM12.0 bilion, meningkat 4.7 peratus pada suku tersebut (ST3 2022: 12.6%),” katanya.

Menurut beliau, lebih 60 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.7 bilion atau 24.2 peratus; Wilayah Persekutuan (RM4.7 bilion atau 14.7%); Sarawak (RM3.7 bilion atau 11.7%); dan Johor (RM3.4 bilion atau 10.7%).

Mohd Uzir menambah, sektor pembinaan mencatatkan pemulihan sebanyak 8.8 peratus pada tahun 2022 selepas dua tahun dalam trend menurun.

Semua subsektor meningkat pada tahun ini dengan pertumbuhan dua digit dicatatkan dalam aktiviti pertukangan khas (19.6%); dan bangunan bukan kediaman (18.7%).

Pada masa sama, subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman bertukar kepada pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 2.7 peratus dan 3.4 peratus.

Jumlah nilai kerja pembinaan pada 2022 berjumlah RM121.9 bilion, walau bagaimanapun, ia kekal lebih rendah daripada tempoh pra-pandemik iaitu sebanyak RM146.4 bilion pada 2019. – MalaysiaGazette