Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri (tengah) bergambar dengan rakan-rakan strategik pada sidang media Pesta Citarasa Sambal di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) bakal menemui pencinta makanan itu dengan lebih 100 jenis akan dipamerkan oleh usahawan sambal di KL Gateway pada 10, 11 dan 12 Mac ini.

Selain Malaysia sebagai pempamer utama, pencinta sambal juga berpeluang menikmati dan membeli sambal dari Pavillion negara Asia seperti Indonesia, Korea, Vietnam, Pakistan dan Thailand.

TOSFE dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama KL Gateway mensasarkan 15,000 pengunjung dengan lebih 50 reruai akan dibuka sepanjang tiga hari fiesta.

Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia sangat terkenal dan kaya dengan kepelbagaian makanan dan antara yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia adalah sambal.

“Sambal belacan misalnya menjadi “hero menu” di setiap hidangan rumah atau restoran Malaysia. Orang kata kalau sudah namanya rakyat Malaysia, tidak boleh lari dari sambal, tidak kira dalam masakan atau pencicah,” katanya.

Azmi berkata, sehubungan itu, PSWAD bersama rakan strategik mengambil inisiatif untuk mengadakan fiesta atau TOSFE.

“Jika di lihat sambal belacan sahaja mempunyai pelbagai jenis dan rasa antaranya sambal belacan tempoyak, kuinin, sambal cermai, sambal ikan bilis dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri (kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Generasi Digital Malaysia, Datin Seri Harnie Mohamed menurunkan tandatangan memorandum persefahaman pada sidang media Pesta Citarasa Sambal di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2023.

Jelas Azmi, TOSFE juga merupakan salah satu platform mempromosi sambal sebagai salah satu produk pelancongan makanan.

Selain itu, untuk memperkenal sambal-sambal Malaysia (terutama sambal eksotik) yang jarang dijumpai kepada masyarakat terutamanya golongan muda supaya ia tidak ditelan zaman.

“Sambal yang diiktiraf sebagai sambal warisan oleh Jawatan Warisan Negara bakal menjadi teraju utama TOSFE. Sambal tersebut adalah sambal tumis, sambal tempoyak daun kayu, sambal rong, sambal biji getah, sambal hitam ikan bilis dan sambal taun,” jelasnya.

Tambah Azmi, antara tarikan utama aktiviti adalah demo masakan sambal warisan oleh Chef Selebriti, pertandingan makan sambal, pertandingan fesyen tradisional dan cabutan bertuah.

Aktiviti lain juga termasuk Award Menu Inovasi Sambal, pertandingan sambal Tik Tok, persembahan artis dan busking.

“TOSFE turut mengadakan bengkel memperkasa usahawan sambal PKS seperti  seminar penjenamaan dan media, bengkel digital media, sesi perkongsian bersama ikon sambal, peluang jaringan perniagaan dalam dan luar negara dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakan strategik yang bakal bersama-sama menjayakan TOSFE setakat ini adalah sambal Mak Jenny, KL Gateway Mall, Produk Ayu Damit usahawan cili dan Seniman.

Turut sertai ialah Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM), Chicken Royale, My Pentas, Benang Emas Bridal House, sambal Mak Esah – Shahrifah Shahirah dan Wan Det sebagai penaja penstriman.

“Pihak PSWAD mengalu-alukan lebih ramai pihak swasta dan agensi kerajaan untuk turut sama-sama menyertai TOSFE,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast