JOma melancarkan barangan rasmi liga Premier Futsal Malaysia musim 2023 di Kelana Jaya hari ini. Kredit foto FAM

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama penaja bola rasmi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023, Joma Malaysia telah melancarkan barangan rasmi MPFL bagi musim ini hari ini.

Selain itu, bola Joma FIFA Pro Grafity II juga telah diumumkan sebagai bola rasmi pertandingan bagi saingan Malaysia Futsal Cup (MFC) 2023 yang dijadualkan akan berlangsung selepas MPFL 2023 iaitu bermula Ogos hingga September tahun ini.

Majlis pelancaran barangan rasmi  itu turut menyaksikan jalinan kerjasama antara FAM bersama Joma Malaysia diteruskan untuk tahun kelima berturut-turut.

Exco FAM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar melahirkan rasa penghargaan terhadap barisan penaja-penaja MPFL 2023 & MFC 2023.

“Kehadiran barisan penaja-penaja di dalam kempen MPFL 2023 dan MFC 2023 adalah amat berharga buat kami di FAM di mana sokongan Joma Malaysia ini merupakan satu peluang keemasan untuk FAM meluaskan lagi jenama MPFL dan MFC di dalam pasaran tempatan terutama sekali dalam kalangan peminat-peminat muda.

“Saya berharap komitmen Joma Malaysia ini dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat swasta di luar sana untuk bekerjasama bersama FAM dalam misi membangunkan arena futsal negara,” katanya selepas pelancaran barangan rasmi futsal di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail yang hadir mewakili Presiden FAM menganggap kehadiran Joma Malaysia sebagai penyeri pertandingan MPFL 2023 dan MFC 2023.

Katanya, dengan format yang berbeza untuk musim 2023, MPFL tahun ini bakal menyajikan lebih banyak perlawanan yang kompetitif dengan kehadiran tiga pasukan baharu di dalam senarai pasukan bertanding.

“Kami akan terus melakukan pemerhatian serta menambahbaik pertandingan-pertandingan elit futsal di bawah kelolaan FAM agar kolam pemain futsal ini dapat dibesarkan lagi sekali gus melahirkan lebih ramai pemain futsal yang kompetitif serta berkualiti tinggi,” ujarnya.

Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan adalah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman serta Pengerusi Eksekutif Joma Malaysia, Datuk Seri John Hii KT, Pengarah Urusan Joma Malaysia, Wong Ngie Siing dan Pengarah Pemasaran Joma Malaysia, Ng Boon Yong.

Ngie Siing pula meluahkan rasa teruja menanti sepak mula MPFL 2023 yang akan membuka tirai secara rasminya pada 18 Februari ini.

“Kerjasama dengan FAM ini amatlah berharga buat kami di Joma Malaysia kerana sukan futsal ini adalah antara sukan yang diminati oleh penyokong dan peminat bola sepak tempatan.

“Selain itu, kejayaan FAM menganjurkan edisi pertama MFC tahun lalu telah menarik perhatian kami Joma Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada MFC bagi tahun 2023,” katanya.

Barangan rasmi MPFL 2023 boleh didapati di rangkaian cawangan Sports Direct serta kedai-kedai menjual barangan futsal terpilih bermula 18 Februari ini pada harga RM99. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast