royalti petroleum
Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Datuk Mohammad Agus Yusoff memohon maaf kepada pengikut media sosial kerana tidak lagi dapat menjawab pertanyaan dan komen.

Beliau yang seminggu dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri berkata, kekangan masa menghalang beliau untuk berbuat demikian.

“Satu yang saya rasakan sejak mula bertugas ialah saya tidak lagi mempunyai masa untuk menjawab komen kawan-kawan dalam Facebook dan Instagram saya.

“Menjawab komen, baik yang memuji atau berbeza pandangan adalah sesuatu yang mematangkan. Namun, kemewahan masa itu sudah tidak ada lagi.

“Saya memohon maaf jika tidak lagi menjawab pertanyaan dan komen kawan-kawan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang merupakan pemerhati dan penganalisi politik sebelum ini meminta supaya diberikan masa untuk beradaptasi dengan suasana baharu iaitu mengurus pejabat dan merancang kegiatan aktiviti J-KOM.

Jelas beliau, petugas J-KOM, pengarah-pengarah bahagian dan staf lain telah membantu, membimbing dan menyokong beliau.

“Mereka adalah nadi J-KOM yang bekerja kuat untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

“Insya-Allah kami di J-KOM akan membaiki kelemahan dan kekurangan yang ada. Saya dan staf J-KOM akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi hasrat semua.

“Jangan lupa ikuti kami di semua saluran media sosial J-KOM. Masih banyak kekurangan, tetapi dari semasa ke semasa kami akan memperbaiki kekurangan ini. Doakan kami,” kata beliau.

Sementara itu beliau berkata, beliau mahu J-KOM menjadi jambatan untuk menghubungkan kerajaan dengan rakyat dan menyampaikan dasar-dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan kepada rakyat.

Mohammad Agus memulakan tugas sebagai Pengarah J-KOM pada 2 Februari lalu.

Tanggungjawab besar itu diterima atas hasrat untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan bagi membangunkan negara termasuk dari aspek siasah dan masyarakat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast