KUALA LUMPUR – Dua pembantu penguat kuasa kanan agensi kerajaan ditahan reman lima hari kerana disyaki menerima wang rasuah bagi urusan permohonan lesen memandu dijamin lulus.
Majistret Nur Faizah Abdul Sani membenarkan perintah reman sehingga 13 Februari depan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 48 tahun dan 46 tahun itu ditahan sekitar jam 2.25 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Tangkapan itu dibuat susulan penahanan dua individu sebelum ini membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki di sebuah sekolah memandu.
Mereka dipercayai meminta wang daripada calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen tanpa gagal.
Jelas sumber berkenaan, kedua-dua suspek masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750 bagi tujuan itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, mengesahkan penahanan suspek terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette