Home Utama Malaysia, Thailand setuju lantik orang tengah bantu selesai isu selatan Thailand

Malaysia, Thailand setuju lantik orang tengah bantu selesai isu selatan Thailand

Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Jeneral Prayut Chan O Cha sebelum memulakan perbincangan dua hala di Government House, Bangkok Thailand.

BANGKOK – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk melantik orang tengah yang terdiri daripada ketua tentera yang telah bersara untuk mencari jalan bagi membantu dan memberi bantuan dalam menyelesaikan isu di selatan Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang merupakan negara pelbagai bangsa dan agama perlu memastikan kedua-dua pihak di sempadan dapat menyelesaikan isu tersebut.

“Saya tahu saya telah mengambil masa, malah dalam mesyuarat peribadi dengan menteri-menteri kerana saya mahu memulakan dengan beberpa elemen kepercayaan antara kita untuk menyelesaikan masalah ini dengan pemahaman.

“Saya telah meminta kebenaran daripada Perdana Menteri untuk membenarkan saya untuk menzahirkan kekhuatiran menerusi kaedah keamanan dan resolusi,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan O Cha
di Government House, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, kini ia terpulang kepada jawatankuasa tersebut dan jawatankuasa sempadan untuk memudahkan carakan tugas-tugas secara bersama dengan rakan mereka di Thailand.

Tambah beliau, Prayut memahami bahawa sesi pertemuan yang diadakan pada hari ini bukannya sesi diplomatik biasa.

“Sesi diplomatik membenarkan kami dua menteri luar untuk bercakap,” ujarnya sambil menambah keutamaan turut diberikan dalam aspek ekonomi dan pembangunan, isu berkaitan perdagangan termasuk pembangunan sempadan.

Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, isu pelarian Myanmar turut dibincangkan pada pertemuan antara dua pemimpin tersebut.

“Saya merayu Perdana Menteri (Thailand) walaupun Thailand mempunyai isu sendiri dengan sempadan (Myanmar), masalah sama turut dihadapi Malaysia.

“Kami berhadapan dengan hampir 200,000 pelarian (Rohingya) dan terlalu sedikit kami boleh lakkuikan kecuali terus berhubung dengan junta Myanmar,” ujarnya.

Katanya, sebagai sebuah negara kecil terdapat had yang dapat Malaysia lakukan dalam menerima pelarian Rohingya. – MalaysiaGazette