Fuziah Salleh bercakap pada sesi Dialog Mengenai Pembangunan Ekosistem Kesihatan Berdasarkan Konsep Waqaf di sini hari ini.
JOHOR BAHRU –  Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah sejak hujung bulan lepas bersifat menang-menang (win-win) kepada peniaga dan juga pembeli.
 Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh melihat konsep berkenaan semakin popular dan banyak digunakan oleh peniaga makanan, sekali gus mewujudkan konsep penawaran dan permintaan.
It’s a win -win situation kerana apabila Menu Rahmah itu menjadi popular dan peniaga mengambil peluang di situ untuk menambahkan volum jualan secara tidak langsung menjadikan konsep penawaran dan permintaan itu satu realiti.
Demand oleh pengguna untuk mendapatkan sesuatu makanan tengah hari atau malam dengan kos sebegitu sederhana,dan kemudiannya  peniaga comply to that demand dan akhirnya menjadi win-win situation,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Mengenai Pembangunan Ekosistem Kesihatan Berdasarkan Konsep Waqaf di sini hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan juga tidak boleh menumpukan pemberian subsidi semata-mata memandangkan langkah itu bukan jalan penyelesaian kos sara hidup untuk tempoh jangka masa panjang.
Inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan baru-baru ini mendapat penyertaan 15,000 premis menjual makanan.
Program berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Inisiatif itu juga bertujuan memastikan golongan B40 khusunya mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.
Dalam sidang media yang sama Fuziah turut memberitahu  pembinaan Kompleks Hospital Pakar di atas tanah waqaf  yang dianggarkan bernilai RM616 juta menepati maqasid syariah  untuk memartabatkan  golongan yang disasarkan.
Projek kerjasama bersama Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Kencana Health Care Sdn Berhad membentangkan inisiatif pembangunan Hospital Pakar atas tanah Waqaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini dijangka dijangka siap  sepenuhnya dan beroperasi pada tahun 2026.- MalaysiaGazette