Tertuduh yang berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 29 Disember 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun dan sehingga 30 tahun serta sebatan.

Bapa kepada dua anak perempuan berusia 14 dan 11 tahun itu turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba alat sulit kanak-kanak itu.

Kesalahan dilakukan lalu di lokasi sama pada pukul 11 malam, 28 Disember 2021 dan sabit kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000.

Selain itu, tertuduh juga diminta agar dikenakan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai kerana tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa.

Sewaktu kejadian, katanya, kanak-kanak itu mangsa dihantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya.

Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan antara RM1,800 hingga RM2,100 sebulan dan menangung isteri serta dua anaknya yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 16 Mac depan sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast