KUALA LUMPUR – Kertas Putih vaksin Covid-19 memperincikan tatacara perolehan vaksin tersebut, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu.
Beliau menjelaskan, Kertas Putih itu akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 dilaksanakan dengan lebih teliti dan berintegriti.
Dr. Zaliha berkata, laporan itu juga akan memperincikan manfaat timbal-balik kepada kerajaan.
“Kertas Putih ini akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri yang menjalankan due diligence secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberi reaksi terhadap sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Februari lalu berhubung Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19.
Anwar berkata, Kementerian Kesihatan akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
“Terdapat ketirisan pada peringkat awal kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya. Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat,” katanya.
Tanpa mendedahkan menteri terlibat yang perlu memberi penjelasan, Anwar berkata: “Soal utama bukan siapa menteri tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu.”
Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin adalah Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika COVID-19 melanda negara bermula 2020 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.
Kedua-dua kementerian itu juga diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MoF.
Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memberi penjelasan mengenainya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.- MalaysiaGazette
Anggota PAC yang buat siasatan haritu tidak buat kerja ke? kalau macam itu lebih buat ditutup terus peranan PAC. Rugi duit cukai rakyat sahaja
Siasat sampai ke akar umbi