KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia merekodkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus untuk tahun 2022.
Ia melebihi anggaran 6.5 – 7.0 peratus yang dibuat pada bulan Oktober 2022.
Prestasi pertumbuhan ini juga jauh melebihi pertumbuhan ekonomi 3.1 peratus yang dicapai tahun 2021.
“Pencapaian pertumbuhan 8.7 peratus untuk tahun 2022 disokong oleh prestasi ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun 2022 yang antara lain melihat pemulihan perbelanjaan dan pelaburan swasta, penurunan pengangguran serta pengukuhan mata wang ringgit.
“Ini jelas menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur kepada ekonomi negara,” kata kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan prestasi kukuh pada suku keempat 2022 adalah permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta yang disokong oleh prospek
pasaran buruh yang lebih baik dan keyakinan perniagaan yang kekal positif.
Pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.6 peratus pada S4 2022 (S3 2022: 3.7 peratus).
Kedua, ringgit Malaysia bertambah kukuh 5.3 peratus berbanding dollar Amerika syarikat.
Ringgit Malaysia juga telah turut kukuh berbanding rakan perdagangan utama.
Ketiga, perdagangan luar terus mencatat pertumbuhan dua digit di samping prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan.
Jumlah dagangan berkembang sebanyak 14.8 peratus kepada RM718.7 bilion dengan eksport dan import kasar masing-masing meningkat sebanyak 11.8 peratus dan 18.7 peratus.
Malaysia merekodkan FDI bersih sebanyak RM19.3 bilion pada S4
2022 (S3 2022: RM12.3 bilion).
Pertumbuhan KDNK negara dijangka menyederhana pada 2023, sejajar dengan tinjauan ekonomi global terkini oleh IMF dan Bank Dunia yang menganggar pertumbuhan ekonomi dunia menurun
daripada 3.4 peratus tahun 2022 kepada 2.9 peratus pada tahun 2023.
Sebelum itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, Belanjawan 2023 akan menggariskan strategi Kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta keyakinan sektor swasta bagi meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai pada tahun 2022 demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette