Keadaan motosikal ditunggang Muhammad Azrief Karim, 16 yang maut ditempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kelisa di Jalan Pegoh Dalam, Alor Gajah, Melaka malam tadi.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jalan Pegoh Dalam di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul kira-kira 10 malam itu, mangsa, Muhammad Azrief Karim, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagan dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Kampung Pegoh Dalam menghala ke Pegoh.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Kelisa dari arah bertentangan dipandu warga emas berusia 61 tahun membelok ke kanan memasuki simpang lorong ke rumahnya menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.

“Akibatnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Talib Karim itu merempuh bahagian sisi pintu penumpang hadapan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette