Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Permohonan maaf oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping semalam menunjukkan parti itu sudah hilang kompas moral dalam perjuangannya.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, permohonan maaf  sebaik kemenangan kes bagi Perdana Menteri ke-10 yang mengetepikan fitnah liar oleh Razman berhubung dakwaan Anwar membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Permohonan maaf ini mempunyai ketara besar dalam politik negara kerana dakwaan tersebut telah dijadikan bahan kempen oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 yang menyaksikan berlakunya gelombang hijau.

“Ramai penganalisis politik berpendapat, gelombang hijau ini bertitik tolak daripada kempen fitnah sebegini termasuk dakwaan Pakatan Harapan (PH) menyokong agenda komunis dan Anwar ada hubungan dengan Israel.

“Dakwaan begini ternyata palsu apabila Anwar membawa agenda Madani dalam kerangka pentadbirannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, kes saman fitnah oleh Anwar terhadap Razman selesai apabila Pesuruhjaya Pas Perak itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Taiping.

Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Pengerusi PH itu membawa agenda LGBT.

Razman selaku defendan tunggal yang membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin berkata, ucapannya itu telah menyinggung perasaan dan memfitnah Anwar.

Menurut Faiz, permohonan maaf itu bukan isu peribadi tetapi isu kepartian kerana fitnah LGBT dijadikan bahan kempen oleh Pas dan PN dalam PRU lalu.

“Oleh itu, jelas Pas dan PN menang di kerusi majoriti Melayu atas kempen fitnah dan pembohongan. Dari segi moral, adakah kemenangan Pas dan PN di 74 kerusi dalam PRU lalu sah?” soalnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu turut menjelaskan, apa yang diakui Razman perlu diambil iktibar oleh orang Melayu bahawa kempen Pas dan PN adalah dibuat dengan menunggang isu kaum dan agama yang mana ianya fitnah semata-mata.

Jelas, katanya, fitnah yang dibawa Pas itu menyimpang jauh daripada Islam dan parti itu kini bukan sahaja hilang kompas moral, malah juga nilai Islam. – MalaysiaGazette