Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang perunding bebas direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima upah daripada seorang wanita bergelar Datuk Seri bagi melakukan kerja-kerja pengubahan wang haram.

Menurut sumber, lelaki berusia 70-an itu disyaki menerima habuan berjumlah lebih RM700,000 sekitar 2016 hingga 2017 sebagai balasan bagi melakukan kerja-kerja aktiviti pengubahan wang haram dengan membawa wang tunai yang disyaki hasil penipuan pelaburan.

Individu itu telah ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut.

Lelaki itu juga disyaki telah bersubahat dengan wanita yang bergelar Datuk Seri itu berhubung kegagalan mengisytiharkan sumber wang pelaburan yang diperoleh bagi tujuan menipu syarikat milik individu yang berprofil tinggi.

Individu berkenaan kemudian telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan individu itu direman selama lima hari sehingga 14 Februari ini untuk membantu siasatan SPRM.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tentang tangkapan ke atas lelaki itu.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat SPRM di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette