Enam individu direman empat hari bagi membantu siasatan.

PUTRAJAYA – Satu sindiket yang menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah berbentuk komisen terbongkar.

Menurut sumber, enam individu terdiri daripada pengarah serta kakitangan enam syarikat  pelancongan yang terlibat dalam kegiatan itu berjaya diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Keenam-enam suspek warga tempatan yang berusia lingkungan antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, petang semalam.

Sumber berkata, sebuah syarikat penerbangan antarabangsa ejen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah.

Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak 2018 lagi itu ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi setiap jemaah umrah.

Bayaran rasuah itu diambil oleh sindiket bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Dikatakan sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.

Tambah sumber berkenaan, baru-baru ini, timbul isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana terdapat sindiket yang memonopoli kuota tiket dan penjualan tiket dengan harga yang tinggi.

“Agensi-agensi pelancongan umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan kuota jemaah mereka mendapatkan tempat duduk penerbangan. Ini merupakan antara faktor kenapa harga tiket penerbangan umrah tinggi,” katanya.

Susulan itu, keenam-enam suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Februari bagi siasatan lanjut kes tersebut.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

SPRM melakukan siasatan kes itu di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut sambil menjelaskan bahawa lebih ramai dijangkakan ditangkap dalam kes ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette