PETALING JAYA – Kegiatan sindiket mencuri lori serta kenderaan lama untuk menjual komponen untuk pasaran gelap akhirnya tumpas.
Penahanan tiga individu yang disyaki mendalangi kegiatan haram itu dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur serta Puchong Jaya pada 3 dan 4 Februari lalu berjaya membantu polis melumpuhkan kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang individu yang memaklumkan lori milik syarikatnya yang diparkir dalam keadaan berkunci di kawasan Mutiara Damansara pada 3 Februari lalu didapati hilang disyaki dicuri.
Hasil semakan, polis bertindak atas laporan itu mendapati sistem pengesan kedudukan global (GPS) pada lori berkenaan menunjukkan kenderaan berat itu berada di Pulau Pinang pada petang pada hari yang sama.
“Bertindak atas maklumat diperoleh, polis berjaya memberkas dua lelaki, masing-masing berusia 27 dan 28 tahun dalam satu serbuan di Stesen Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 3 Februari lalu.
“Hasil serbuan itu, polis berjaya menemui sebuah Proton Wira berwarna hijau dan sebuah van yang dilaporkan hilang pada Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, hasil soal siasat ke atas suspek mendapati kedua-duanya telah mengaku mereka terbabit dalam kejadian curi kenderaan itu bersama seorang lagi lelaki.
Berdasarkan maklumat hasil soal siasat yang diterima dari suspek, polis juga berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lagi lelaki tempatan berusia 36 tahun dalam serbuan di Puchong Jaya pada 4 Februari lalu.
“Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan kenderaan model lama yang kemudian diserahkan kepada orang tengah untuk dileraikan bagi mendapatkan komponen yang dijual sebagai alat ganti atas permintaan dari ‘pelanggan’ mereka.
“Polis juga percaya sindiket ini aktif melakukan kegiatan ini sejak Disember tahun lalu dan masih memburu seorang lagi rakan jenayah mereka yang masih bebas dan disyaki terlibat dalam jenayah tersebut,” katanya.
Tegas Mohamad Fakhrudin lagi, penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan berjaya membantu polis menyelesaikan empat kes curi kenderaan.
Kesemua suspek itu kini direman sehingga semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Mereka kemudian telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan kes curi kenderaan di daerah itu pula,” katanya. – MalaysiaGazette