KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM157 juta di UiTM Holdings sebagaimana pendedahan yang dibuat.
Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat Uitm Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.
Katanya, isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang didakwa.
Beliau berkata, sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas daripada siasatan SPRM.
“Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah.
“Jika kita lihat ianya berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka,” katanya.
Beliau mengulas laporan media baru-baru ini berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings. – MalaysiaGazette