Foto Facebook MHC.

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) memulakan kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 dengan langkah kanan.

Mereka menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi sekali gus muncul juara Piala Sumbangsih.

Kejayaan itu cukup manis apabila THT berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kedua berturut-turut.

Walaupun turun dengan reputasi hebat serta dibarisi pemain berkualiti termasuklah pertahanan yang merupakan pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun, THT bagaimanapun terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan.

Ini kerana TNB membuka jaringan pendahuluan yang dihasilkan penyerang berbisanua Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 selepas beliau menerima hantaran daripada Hafiz Zainol.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Jang mendapat dua peluang keemasan untuk mendapatkan gol tetapi pukulan sudut penalti diledakannya berjaya ditangkis penjaga gol lawan, Hairi Abdul Rahman pada minit ke-15 dan 18.

THT kembali menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-20 menerusi ketua pasukan, Fitri Saari yang melakukan pukulan kilas untuk menewaskan Hairi.

Bekas pemain kebangsaan, Syed Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB sekali lagi di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 tetapi kelebihan itu hanya bertahan dua minit selepas Jang pula menyempurnakan peluang susulan situasi tersebut.

Shello Silverius membuktikan kemampuan penyudah dimiliki apabila kuisannya selepas menerima hantaran jauh Marhan Jalil membuahkan hasil pada minit ke-43 bagi membolehkan THT mendahului buat pertama kali.

Hujan yang turun semakin lebat di Bukit Jalil pada awal suku keempat memaksa perlawanan dihentikan buat seketika sehingga keadaan padang lebih baik.

Permainan bersambung menyaksikan Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-49 selepas beliau menguis masuk bola hasil pukulan sudut penalti daripada Syed Syafiq.

Anak buah Nor Saiful Zaini itu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan dua pemain selepas tiga pemain THT dilayangkan kad kuning.

Jang akhirnya muncul wira buat skuad dari Pantai Timur itu apabila percubaannya susulan situasi pukulan sudut penalti berjaya membolosi gawang TNB di mana turut menghadiahkan tiga mata penuh buat THT. – MalaysiaGazette