KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan pelantikan barisan kumpulan pengurusan kanan baharu berkuatkuasa 01 Januari 2023.

Dalam satu kenyataan, CBP mengumumkan pelantikan Syaiful Arief Syah Mohammed Said dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Mohd Rafis Makhtar sebagai Ketua Pegawai Perbankan Runcit berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Syaiful Arief telah bersama CBP sejak 2018 merupakan Ketua Jabatan Strategi dan Komunikasi Korporat CBP sebelum ini akan bertanggungjawab dalam bidang perancangan strategi dan komunikasi korporat serta operasi cawangan termasuk pengurusan aset dan fasiliti CBP.

Manakala Mohd Rafis merupakan Ketua Pembiayaan Peribadi CBP sebelum ini dan pernah menjawat beberapa jawatan lain sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Perbankan Runcit.

Beliau bertanggungjawab dalam merangka strategi bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaan perbankan runcit di CBP.

Dalam kenyataan yang sama, turut diumumkan pelantikan Nor Aznizam Nor Azmi sebagai Ketua Pegawai Kewangan berkuatkuasa pada 10 Februari
2023.

Selain itu, Zairil Anuar Ahmad dilantik pemangku Ketua Pegawai Teknologi Maklumat berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pelantikan barisan kumpulan pengurusan kanan ini dapat membentuk satu sinergi yang kuat di dalam memacu CBP ke arah pencapaian pelan Aspirasi 5 yang telah dilancarkan pada Mei 2022. – MalaysiaGazette