KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pelajar kolej swasta yang membuang sisa sampah disyaki barang acara sembahyang ke dalam sungai di Subang Jaya memakan diri apabila dia disiasat polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada 10 Februari jam lebih kurang 6.30 petang, satu hantaran video Tiktok berdurasi 35 saat dikesan tentang insiden itu.
Katanya, penelitian polis terhadap kandungan video itu mendapati rakaman seorang lelaki yang menaiki kenderaan Perodua Ativa merah sedang membuang sampah ke dalam sungai di Subang Jaya.
“Hasil semakan lanjut mendapati lokasi kejadian itu berlaku adalah di Sungai Penaga di Jalan SS13/6 Bandar Sunway.
“Suspek dikenalpasti sebagai seorang lelaki warga tempatan merupakan pelajar kolej swasta berusia 19 tahun telah tampil pada sebelah petang 10 Februari 2023 (Jumaat) untuk membantu siasatan polis berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Hasil soal siasat mendapati barang sampah yang dibuang oleh individu itu ke dalam sungai terbabit adalah sisa makanan iaitu manisan laddu dan ‘Barfi’ kegunaan acara ritual sembahyang Hindu.
Pelajar itu telah selesai diambil keterangan dan kes sedang disiasat di bawah Peraturan 52 LN166/59 yang mana jika disabitkan kesalahan membuang apa apa barang keluar dari kendenraan boleh dihukum denda maksimum RM300.- MalaysiaGazette