Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan peranti khas sistem pembayaran kompaun dalam talian (MCOPS) bagi menyemak Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) selepas cukai jalan tidak perlu lagi ditampal pada kenderaan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata, individu yang memandu kenderaan persendirian hanya perlu menunjukkan lesen kenderaan motor atau lesen memandu melalui aplikasi tanpa menunjukkan dokumen fizikal.

“JSPT melalui peralatan MCOPS yang dibekalkan masih boleh melaksanakan penguatkuasaan dengan melakukan semakan integrasi dengan sistem mySikap JPJ atau paparan kod QR semakan nombor kenderaan dan nombor pengenalan.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyJPJ melalui App Store, Play Store, Huawei App Gallery dan portal JPJ,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan LKM dan LMM persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital yang boleh didapati melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

Menerusi inisiatif itu, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi akan dikuatkuasakan mulai semalam.

Dalam kenyataan itu, JSPT turut menyambut baik inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan dan JPJ itu.

“Kaedah pendigitalan ini sekali gus dapat meringankan kesulitan orang ramai semasa berurusan di kaunter,” katanya.- MalaysiaGazette