Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Rubiah Wang bergambar bersama warga kementerian selepas Bengkel Halatuju Strategik KKDW di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan empat tumpuan utama yang akan dilaksanakan memerusi 22 program ‘quick win’ dan ‘game changer’ bagi melonjak ekonomi luar bandar menerusi penubuhan pasukan pasukan petugas yang dipengerusikan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prasarana luar bandar, program modal insan, keusahawanan dan ekonomi menjadi bagi menjayakan semua program itu.

Jelas beliau, KKDW turut menyasarkan untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar serta pinggir bandar, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi menyekat migrasi penduduk luar bandar ke bandar.

“Kita berhasrat merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar atau pinggir bandar. Kita berhasrat supaya tidak berlaku migrasi atau perpindahan terutama secara mobiliti sosial horizontal kerana tiada banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel dan Hala Tuju Strategik KKDW, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, kementeriannya perlu mewujudkan banyak peluang untuk menjadikan penduduk luar bandar sebagai usahawan, selain turut melaksanakan beberapa perubahan lain dengan menggunakan tenaga tempatan untuk majukan luar bandar.

“Kita mahu orang luar bandar sendiri yang majukan luar bandar, manakala kementerian dan agensi menjadi pemudah cara kepada transformasi yang telah kita mulakan,” katanya. – MalaysiaGazette