Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

KLUANG – Bagi menakut-nakutkan peminjam, sebuah syarikat pemberi pinjaman wang dari Singapura sanggup mengupah samseng tempatan dengan bayaran sekitar RM700 hingga RM1,000.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita, berumur antara 27 hingga 35 tahun, di sebuah hotel di Johor Bahru, Khamis lepas.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu bertindak menakutkan peminjam yang culas dengan melakukan perbuatan khianat dengan api serta menyimbah cat di kediaman peminjam terbabit.

“Sebelum itu, pada Rabu lepas (8 Feb) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, telah menerima satu laporan berkaitan khianat dengan menyimbah cat merah di sebuah rumah di daerah ini.

“Melalui maklumat dan risikan yang dilakukan, pihak polis berjaya membuat tangkapan dalam tempoh kurang daripada 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahrin berkata, kesemua individu yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, kesemua mereka mendakwa tidak mengenali individu yang menguruskan syarikat yang mengupah mereka dan hanya mendapat arahan kerja daripada Facebook Messenger selain upah dibayar melalui dalam talian.

“Siasatan awal mendapati ‘empat sekawan’ ini telah melakukan tugasan terbabit semenjak awal tahun ini dengan menggunakan kenderaan sewa. Dengan tertangkapnya mereka, empat kes khianat sekitar Seri Alam dan bandar raya ini, berjaya diselesaikan,” katanya.

Kesemua mereka direman bermula 9 Feb lepas hingga Selasa ini (14 Feb) dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama