Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang didapati memukul seorang pelajar tingkatan lima di lobi bangunan Utropolis Market Place Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini mengaku berhalusinasi pada masa kejadian.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang merupakan warga tempatan itu turut mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

Katanya, ketika kejadian mangsa sedang menyiapkan litar permainan kereta kebal di taman berkenaan bersama beberapa individu lain.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul oleh suspek dengan menggunakan cement compacter telah di bawa ke Sunway Medical Centre untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulkifli di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di laman Facebook mengenai rakaman insiden yang berlaku terhadap mangsa yang merupakan warga Filipina.

Video berserta gambar-gambar kejadian dikongsikan pengguna Facebook yang menggunakan nama Stanlley Thai. – MalaysiaGazette