KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempertahankan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy mengenai dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau,, kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu tidak menimbulkan isu perkauman.
Katanya, adalah menjadi fakta pada waktu ini 90 peratus kakitangan kerajaan seramai 1.2 juta orang terdiri daripada kaum Melayu.
“Dominasinya agak besar. Inilah yang jadi isu kepada Ramasamy.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang budaya dan agama.
“Penulis kenal lama Ramasamy ini sejak beliau seorang pensyarah universiti. Niatnya baik membawa isu ini kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ramasamy tidak menimbulkan isu perkauman. Dia meminta reformasi bukan revolusi terhadap sektor perkhidmatan awam supaya kelihatan lebih adil, lebih seimbang bagi sebuah negara Malaysia yang adil dan madani,” katanya.
Hassan berkata, sebagai Melayu yang mindanya tidak terkepung beliau tidak berasa terancam dengan pandangan dan sikap Ramasamy.
Beliau menegaskan, perlu dihormati jika Ramasamy berhasrat bercakap untuk keadilan kepada rakyat bukan Melayu di negara ini.
Serentak itu beliau memohon agar tindakan tidak dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Perai tersebut.
“Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ini juga pendokong agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar selama ini. Janganlah kerana beliau berani bercakap dan lantang bersuara maka kita minta beliau dipecat dan disingkirkan dari jawatanya,” katanya.
Beliau percaya, Anwar mendengar dan meneliti pandangan yang disuarakan oleh sesiapa termasuklah Ramasamy.
Media sebelum ini melaporkan, Ramasamy meminta Anwar untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu.
Bagaimanapun Anwar berkata, kerajaan tiuidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan pentadbirannya tidak akan mempertimbangkan cadangan Ramasamy.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan perlu tangani penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam – Ramasamy