BALIK PULAU – Seorang anggota polis dan jururawat maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung di Jalan Tun Sardon, di sini, hari ini.
Kejadian jam 6.45 pagi itu mengakibatkan Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala, jururawat, Norsyazwani Roslan, 30, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Balik Pulau.
Difahamkan mangsa yang bertugas di cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya itu dalam perjalanan dari Relau menuju Balik Pulau.
Manakala jururawat yang bertugas di Hospital Bertam itu pula, dalam perjalanan menuju Relau.
Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, masing-masing telah bertembung sesama sendiri dan impak kejadian menyebabkan anggota polis tersebut meninggal dunia di lokasi.
Jururawat yang mengalami kecederaan dikejarkan di Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut sebelum dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi.
Mayat mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, jenazah anggota polis itu akan dikebumikan kampung halamannya di Arau, Perlis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kemalangan tersebut. – MalaysiaGazette