Geng ceroboh gudang perniagaan di Teluk Panglima Garang Kuala Langat tumpas di tangan polis

KUALA LUMPUR – Kegiatan geng penyamun yang disyaki menceroboh dan menyamun barang di gudang perniagaan di sekitar Kuala Langat  dekat Banting akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Bin Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku di kawasan perusahaan Telok Panglima Garang pada 3 Februari lalu.

“Pada pukul 3.54 pagi hari kejadian, polis bertugas di Pusat Kawalan Daerah Kuala Langat telah terima panggilan Mers 999 daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun merupakan pengurus gudang mengatakan telah berlaku kes ceroboh gudang di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Telok Panglima Garang.

“Bertindak atas maklumat pengadu, pada pukul 4 pagi hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan melakukan siasatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat dan risikan serta merta, pasukan berjaya menjejaki dan membuat serbuan beserta tangkapan ke atas tiga suspek lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, polis menerusi pemeriksaan lanjut ke atas suspek merampas sejumlah barangan iaitu seunit pemotong besi, sebilah pedang samurai bersarung, sebilah pedang samurai tiada bersarung dan seunit playar yang disyaki digunakan mereka  melakukan kegiatan jenayah.

Hasil semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek yang ditangkap adalah lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 33 tahun dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Malah hasil ujian air kencing ketiga-tiga suspek mendapati positif jenis methamphetamine dan siasatan awal polis juga mendedahkan kumpulan ini aktif dalam melakukan jenayah sejak dua bulan  lalu,” katanya.

Kesemua suspek telah direman selama empat hari dan kini ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat  di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM 5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun jika disabit kesalahan. -MalaysiaGazette