KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib mahu bertanding sebagai Exco Puteri UMNO Malaysia pada pemilihan sayap parti itu, 11 Mac ini.
Perkara itu disahkan sendiri ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam hantaran Facebook miliknya, semalam.
Hasrat anak perempuan Datuk Seri Najib Razak itu disampaikan kepada Mohd Puad ketika dalam kunjungannya ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu, semalam.
“Hari ini (semalam) Yana Najib datang berkunjung ke pejabat saya Pusat Khidmat ADUN Rengit di Taman Rengit.
“Beliau datang dengan Dr Masliha calon Ketua Puteri UMNO Malaysia. Yana pula akan bertanding exco Puteri UMNO Malaysia. Semoga maju jaya,” katanya dalam hantaran terbaru di akaun Facebooknya, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Mohd Nazifuddin yang juga ahli UMNO Bahagian Langkawi memberitahu mahu membantu Pergerakan Pemuda UMNO menarik golongan muda supaya dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti. – MalaysiaGazette