BAYAN BARU – Nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah menjadi rangkaian nasi kandar pertama yang menawarkan Menu Rahmah di negeri ini.
Menu nasi lauk sayur kubis dan ayam goreng atau daging termasuk minuman air sirap itu boleh didapati di dua rangkaian restoran mereka di Lebuh Campbell dan Sungai Ara di sini mulai Mac depan.
Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhammad Salim Ahamed Seeni Pakir, 31, berkata, menu berharga RM5 itu akan disediakan setiap hari selama lima jam bermula pukul 5 petang hingga 10 malam, sama ada untuk dimakan di restoran atau dibawa pulang.
Jelasnya, sebanyak 15 ekor ayam dan lapan kilogram daging lembu akan diperuntukkan setiap hari bagi menyediakan menu Rahmah itu.
“Jika ditanya mengenai kos, hidangan itu sebenarnya berharga RM8.50 tidak termasuk minuman namun kami sahut saranan kerajaan dalam menyediakan Menu Rahmah sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu golongan B40.
“Selain itu, menu sama pernah ditawarkan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada harga RM6 dan ia mendapat sambutan yang menggalakan.
“Cuma kita harap kali ini, biarlah golongan B40 yang mengambil peluang untuk menikmati juadah yang ditawarkan kerana kita tidak mensasarkan jumlah jualan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Muhammad Salim ditemui pada majlis pelancaran Menu Rahmah di Restoran Hameediyah Sungai Ara.
Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan dan Pengarah Urusan Restoran Hameediyah Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukkor.
Mengulas lanjut, Muhammad Salim berkata, Menu Rahmah tersebut akan disediakan selama tiga bulan di rangkaian restoran mereka sebelum ia akan dikaji semula mengikut faktor harga bahan mentah.
“Kaedah jualan Menu Rahmah ini akan diteliti semula dalam tempoh tiga atau empat bulan selepas ia dilancarkan kerana bergantung kepada faktor bahan mentah di pasaran.
“Kami akan sentiasa mengemaskini mengenai tawaran hidangan di laman sosial Facebook Hameediyah Restaurant.
“Selain itu, kita juga sarankan kepada restoran lain supaya turut sama mengambil bahagian dalam jualan Menu Rahmah ini,” katanya.
Sementara itu, Jegan pula berkata, sebanyak 19 restoran dan kedai makan di sekitar Pulau Pinang sudah mengambil bahagian dalam program Menu Rahmah yang mana kebanyakannya ialah kedai makan dengan menu lauk campur.
“Kita sudah menghubungi banyak restoran tetapi ada yang di bawah persatuan tertentu dan ia mengambil sedikit masa kepada mereka.
“Kita harap lebih banyak kedai makan turut serta dalam inisiatif menawarkan Menu Rahmah dan sekiranya ada (restoran) yang mahu mengambil bahagian boleh hubungi KPDN bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette