Onn Hafiz berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran di laman Facebook beliau, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor dan Singapura bersetuju projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru – Singapura menjadi keutamaan kepada kedua-dua pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia penting dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan malah terhadap hubungan sesama rakyat.

Katanya, perkara itu dikongsikan dalam perjumpaan bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran yang merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura.

“Saya menyambut baik cadangan Iswaran agar dalam kita memantau secara dekat perkembangan projek infrastruktur tersebut, kita juga perlu menetapkan sasaran jangka masa pendek dan sederhana.

“Ini supaya kemajuan projek kekal dalam landasan yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengulangi komitmen disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tentang penambahan laluan motosikal untuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Umum mengetahui tambak Johor-Singapura sebagai antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru.

“Saya juga berkongsi keterbukaan Perdana Menteri untuk melihat kepada cadangan melebarkan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke Johor.

“Sudah semestinya hasrat ini, jika direalisasikan, dapat memberi manfaat kepada komuniti perniagaan di Singapura yang ingin melabur di Malaysia,” ujarnya.

Menurut Onn Hafiz, tidak ketinggalan cadangan perkhidmatan feri baharu dari Puteri Harbour ke Tuas, yang bertujuan sebagai antara solusi dalam mengurangkan kesesakan laluan di Laluan Kedua (LINK 2) Malaysia–Singapura.

“Saya sekali lagi menzahirkan tekad Kerajaan Negeri Johor dalam segala usahasama antara Johor-Singapura pada masa akan datang. Keakraban ini begitu signifikan untuk kedua belah pihak,” katanya. – MalaysiaGazette