KUANTAN – Dua lelaki mengalami kerugian hampir RM60,000 setelah terpedaya dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-dua kes sindiket Macau Scam berasingan itu melibatkan mangsa dari Kuantan dan Pekan yang merupakan pesara jurutera dan peneroka FELDA.
“Dalam kejadian 9 Februari lalu, mangsa seorang lelaki Melayu berumur 60 tahun telah terima khidmat pesanan ringkas menyatakan kad kreditnya digunakan untuk pembayaran E-Tomei sebanyak RM2,850.
“Kemudian mangsa menghubungi suspek dengan nombor telefon yang diberikan untuk pengesahan dan kononnya disambungkan ke BNM.
“Suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dan mangsa telah memberi maklumat nombor akaun, nombor kad ATM, nombor TAC bagi bank miliknya dan selepas tiga hari pengadu menyedari wang dalam akaunnya berkurang sebanyak RM 29,970,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian lain, mangsa seorang lelaki Melayu berumur 74 tahun pula telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Dalam perbualan, suspek telah menyatakan tidak membayar cukai pendapatan dan terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah. Mangsa berasa takut dan telah mengikut arahan saspek sehingga memindahkan sejumlah RM30, 000 ke akaun bank diberi suspek bagi tujuan penyelesaian kes sebelum menyedari dia ditipu,” kata Ramli.
Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum jika ia melibatkan proses penghantaran wang. – MalaysiaGazette
















