Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang pesakit mental yang didakwa telah menikam seorang lelaki di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, saksi mendakwa suspek berusia 22 tahun itu telah menikam di bahagian pinggang mangsa menggunakan pisau.

“Akibat daripada serangan tersebut mangsa berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan.

“Keadaan mangsa berusia 29 tahun kini dilaporkan dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sasikala, pada masa ini, polis masih melakukan siasatan lanjut bagi menyiasat motif atau punca sebenar suspek menyerang mangsa tersebut.

“Pada masa ini kita masih menyiasat punca sebenar kejadian berkenaan termasuk mendapatkan maklumat daripada beberapa saksi yang melihat kejadian itu,” ujarnya.

Tegasnya, suspek kini telah diberi rawatan dan sedang ditempatkan di Wad Psikiatri, Hospital Selayang,” katanya.

Polis telah membuka kertas siasatan dibawah Sek 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan terbaharu mengenai kejadian itu memaklumkan pihaknya akan memastikan lelaki yang cedera ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang diberikan rawatan terbaik.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata beliau bersama Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Selayang Dr Afidah Ali, serta pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu keluarga mangsa.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu ciapan di Twitter berkata, kejadian tikaman itu dilakukan oleh seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

Beliau berkata kementerian akan mengkaji semula prosedur operasi standard bagi pesakit yang mengalami gangguan mental.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mangsa tikam Hospital Selayang diberi rawatan terbaik – Dr Zaliha