Peserta latihan antarabangsa di Marwadi University, Rajkot, Gujarat, India

SINTOK – Lima pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai latihan antarabangsa bagi membincangkan pembangunan kurikulum pascasiswazah baharu undang-undang dan polisi perubahan iklim di Marwadi University, Rajkot, Gujarat, India.

Mereka diketuai Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd. Anuar bersama Prof. Madya Dr. Harlida Abdul Wahab dan Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad dari Pusat Pengajian Tunku Putri Intan Safinaz (TISSA) serta Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).

Kelima-lima penyelidik ini juga merupakan ahli Unit Penyelidikan baharu di SOL, iaitu Climate Change Law Research Unit (CLIMATE).

Sembilan institusi dari Asia dan Eropah, iaitu Coventry University (United Kingdom), European Knowledge Spot dan PEDMEDE (Athens), Universitat deGirona (Sepanyol), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Hanoi Law University dan Hue University (Vietnam) serta Marwadi University dan Symbiosis Law University (India).

Haslinda berkata, objektif latihan antarabangsa ini adalah untuk pemindahan ilmu mengenai pembangunan kurikulum baharu di Eropah dan Asia, serta komponen asas dalam kurikulum pascasiswazah undang-undang dan polisi perubahan iklim.

Di samping itu, kaedah pembelajaran bersemuka dan dalam talian turut dibincangkan bagi tujuan memantapkan penyampaian program ini.

“Syukur alhamdulillah UUM diberikan kepercayaan dan peluang oleh European Union melalui projek penyelidikan ini untuk bersama-sama membahaskan kepentingan undang-undang dan polisi dalam mengawal selia perubahan iklim serta isu-isu berkaitan.

“Kepakaran dan pengalaman para penyelidik UUM dalam aspek undang-undang dan polisi persekitaran turut menyumbang kepada kemantapan program sarjana yang akan diperkenalkan kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Ani Munirah berkata, hasil daripada projek penyelidikan yang dibiayai oleh Erasmus+ ini bakal memperkenalkan satu program pascasiswazah baharu di UUM iaitu Sarjana Undang-undang (LL.M) Perubahan Iklim.

Jelasnya, perubahan iklim adalah satu fenomena yang makin meruncing di peringkat global dan memberikan impak kepada setiap lapisan masyarakat.

“Oleh itu, program baharu yang dirancang oleh pasukan penyelidik dan bakal diperkenalkan di UUM kelak amat relevan bagi pembentukan perundangan dan tadbir urus perubahan iklim negara,” ujarnya.

Beliau menyifatkan pengalaman menjalani latihan di Gujarat, India cukup bermakna dan amat bermanfaat kepada peserta yang datang dari pelbagai negara.

“Di sini kami lebih mengetahui amalan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran program sarjana perubahan iklim di universiti terlibat, proses penawaran program dan akreditasi, serta bagaimana menjadikan pembelajaran lebih inklusif bagi merangkumi setiap lapisan pelajar.

“Kerjasama antara rakan institusi amat menakjubkan, kerana masing-masing mempunyai hasrat yang sama untuk menjayakan program baharu di institusi masing-masing.

Pertama kali menjejakkan kaki di India beliau berpandangan India sebagai sebuah negara yang penuh warna warni, kaya dengan budaya dan kreatif dalam kepelbagaian makanan.​ – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast