Penduduk, Au Fong Kew masalah pemparitan yang tidak diselenggara dan saliran longkang disekat dan mengakibatkan banjir di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Isu perparitan dan banjir di Jalan Union, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor disebabkan pelbagai faktor melibatkan manusia hingga menjadikan situasi itu semakin teruk.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, pihaknya cakna mengenai masalah penduduk di kawasan itu dan tindakan segera untuk menangani isu terbabit sudah dibuat.

Katanya, pihaknya telah turun padang di kawasan itu sejak tahun lalu dan dimaklumkan ketua kampung di situ sudah menghantar surat kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS).

“Dalam isu ini, kawasan perkilangan antara yang terlibat dan ia adalah hartanah persendirian yang menyukarkan agensi tertentu untuk melakukan pembersihan perparitan di sekitar kawasan itu.

“Kalau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau KDEB Management  Sdn Bhd nak masuk kawasan terbabit kena dapatkan kebenaran daripada pemaju atau pemilik kilang.

“Kedua, ada juga kawasan perumahan penduduk didapati membuat pengubahsuaian sesuka hati tanpa kebenaran pihak PBT dengan menyekat saliran air longkang ke rumah atau tempat mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette secara ekslusif.

R. Ramanan

Tambah Ramanan, isu perparitan ini akan melibatkan pelbagai agensi dan ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuklah penduduk dan juga pengusaha kilang.

Beliau juga memaklumkan pihaknya telah bertemu dengan wakil MBSA dan KDEB untuk mencari mekanisma berhubung isu ini.

“Kami telah mengadakan mesyuarat khas bersama wakil MBSA dan KDEB Management termasuk jurutera untuk mengambil tindakan pantas berhubung isu ini malah kami juga sedang menunggu jawapan daripada JPS.

“Dalam pertemuan kami itu, MBSA memutuskan untuk memberi notis kepada pemilik kilang dikesan telah menjadi punca pada masalah perparitan, mungkin akan roboh pembinaan mereka.

“Selain itu, kita akan membenarkan KDEB Management untuk masuk ke kawasan itu melakukan pembersihatan bersama dengan jururtera MBSA yang akan melihat stuktur longkang di kawasan terbabit.

“Saya juga sudah minta mereka untuk beri perkembangan setiap minggu supaya masalah penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh segera diselesaikan. Itu antara langkah pertama kita laksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramanan memohon maaf kepada penduduk sekitar atas kesulitan yang dihadapi mereka selama berpuluh tahun dan berharap penyelesaian berhubung isu terbabit dapat ditangani. – MalaysiaGazette

PBT atau ahli politik tidak selesaikan masalah banjir Kg Baru Sungai Buloh – Penduduk