Simptom cacar monyet. Foto thewatchdog.news

GENEVA – Wabak cacar monyet (mpox) yang masih lagi meluas kekal sebagai kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa (PHEIC).

WHO secara rasmi mengisytiharkan pada Julai tahun lepas bahawa wabak mpox di luar kawasan endemik tradisional di Afrika telah bertukar menjadi PHEIC, tahap amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan global.

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, WHO berkata, pakarnya mengakui kemajuan dalam tindak balas global terhadap wabak mpox dan penurunan selanjutnya dalam jumlah kes yang dilaporkan dalam beberapa bulan terakhir.

Walau bagaimanapun, beberapa negara masih melihat kes wabak ini berterusan, manakala wilayah lain berkemungkinan kurang melaporkan kes yang disahkan.

Oleh itu, Jawatankuasa Pakar WHO dan Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus telah mengekalkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa.

Statistik terkini daripada WHO menunjukkan risiko global semasa wabak mpox dinilai sebagai sederhana, sementara dikurangkan daripada sederhana kepada rendah di rantau Asia Tenggara.

Ia juga kekal rendah di Wilayah Pasifik Barat.

Sementara itu, WHO berkata, pelan kesediaan dan tindak balasnya terhadap wabak mpox, yang dilancarkan pada Julai 2022 untuk membantu membimbing tindakan kesihatan awam yang diselaraskan akan berakhir pada Jun 2023.

Dua wilayah WHO, Eropah dan Amerika, yang melaporkan 95 peratus kes yang didiagnosis telah mengekalkan jumlah kes yang stabil dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Sehingga 3 Februari, 43 negara dan wilayah tidak mengesan sebarang kes baharu dalam tempoh tiga bulan lalu, lapor WHO Wilayah Eropah.

Wilayah Amerika juga telah melaporkan jumlah kes yang stabil dalam tempoh enam minggu lepas, dengan 200 hingga 250 kes seminggu. – Agensi